Wednesday, June 9, 2010

Lari Rumah Ikut Kekasih

Pada awalnya saya keliru sama ada betul atau tidak gambar Nur Laili yang disiarkan di TV3 dalam iklan Remaja. Akibat dek lupa tentang rancangan itu, maka saya terlepas menontonnya dan saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil tahu. Tetapi saya bernasib baik kerana dapat mengikuti siaran ulangannya pada jam 1 pagi. Memang betullah gambar yang disiarkan itu adalah Nur Laili. Isunya ialah lari dari rumah kerana mengikut kekasih.

Nur Laili ialah sahabat saya di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Bersama-bersama berkerjasama dalam kompeni Charlie. Sungguh tidak disangka seorang yang baik akhlaknya, dipuji oleh mana-mana jurulatih, mempunyai suara yang merdu dan sentiasa memberikan pandangan yang positif dalam perbincangan kumpulan, terlibat dalam keruntuhan moral ini. Saya berasa sangat terkilan dan amat malang sekali kerana apa mesej yang hendak kerajaan sampaikan melalui PLKN ini, tak sampai dekat dia atau lebih tepat bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Memang tidak dinafikan program PLKN ini adalah program yang baik dan berfaedah kepada generasi muda. Walaupun suatu ketika dahulu saya membangkang kerajaan dengan kewujudan program ini, dengan kes kematian, dengan memaksa, kalau tak pergi akan dikenakan denda dan penjara, dan ketidak cenderungan remaja mengikuti program ini. Tetapi usaha kerajaan ada baiknya. Tapi usaha sebegini sahaja tidak cukup sekiranya tidak ada program-program keagamaan atau meletakkan agama di hadapan. Maka lahirlah generasi yang sia-sia. Saya berharap agar saudari Nur Laili kembali ke pangkuan keluarga. Ingatlah ada orang yang lebih menyayangi anda menanti di rumah.